MELAKA STEM BOOTCAMP 2024 CAPAI OBJEKTIF PROMOSI PENDIDIKAN STEM
Oleh: Wartawan Cilik TV PSS Al-Biruni SKJDP
Melaka, 17 Ogos 2024 - Melaka STEM Bootcamp 2024 telah berjaya mencapai matlamatnya dalam mempromosikan pendidikan STEM kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di Negeri Melaka. Program yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama dua hari ini menjadi platform untuk mendedahkan pelajar kepada kepentingan dan aplikasi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kehidupan seharian.
Hari kedua program dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat, termasuk Makerfaire 2, STEM Conference, dan Makerfaire Show and Tell. Melalui Makerfaire 2, peserta berpeluang untuk menampilkan inovasi mereka yang berasaskan STEM, sekali gus merangsang kreativiti dan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.
Persidangan STEM (STEM Conference) yang melibatkan guru-guru, ibu bapa dan para peserta program menampilkan panel jemputan yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang pendidikan STEM di Melaka iaitu Dato’ Norsabrina Mohd Noor, Setiausaha Worth Youth Foundation, dan Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi, Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi UTeM. Panel-panel jemputan lain terdiri daripada guru-guru STEM yang didatangkan khas dari Amerika Syarikat dan Singapura. Mereka berkongsi pandangan tentang kepentingan STEM dan pendekatan terbaik dalam memupuk minat pelajar terhadap bidang ini.
Dalam ucapannya, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sanusi Azmi menegaskan, “Untuk menjadi seorang graduan STEM yang berjaya, murid-murid perlulah menyayangi subjek sains dan matematik, perbanyakkan membuat latihan dan menghormati guru-guru sejak di bangku sekolah lagi.”
Coach Syed Shawal, wakil daripada Skool21, turut menambah bahawa pendidikan STEM seharusnya menggalakkan kemahiran komunikasi, kolaborasi, dan sosial yang tinggi, selain daripada memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh diri, komuniti, dan masyarakat secara umum.
Seorang guru yang ditemubual, Pn. Farhanah binti Samat, menyatakan, “Mesej yang penting daripada program ini ialah memastikan murid-murid kenal minat untuk belajar dan bersifat ingin tahu supaya dapat mengukuhkan kefahaman terhadap sesuatu konsep dengan mendalam.”
Selain itu, dua orang pelajar dari SMK Krubong, Nurul Jannah Najwa dan Nur Alya Eryna, turut berkongsi pandangan mereka. "Input daripada program ini amat meningkatkan motivasi kami untuk menghadapi kesukaran dalam pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kami, dan membina semangat kami untuk mencapai cita-cita kami dalam bidang STEM,” kata mereka.
Program ini diakui sebagai langkah yang berkesan dalam memupuk minat pelajar terhadap STEM, dan diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang tersebut.
https://youtu.be/H1uns3BbIrc
#MSB #ISPACEDIGITAL #STEM4ALL
Mohon like dan share post dan video ini kerana ia akan dinilai untuk kategori Media Challenge.