• Main
  • News

Melaka Stem Bootcamp 2024 Bantu Murid Aplikasi Stem

Melaka Stem Bootcamp 2024 Bantu Murid Aplikasi Stem

MELAKA STEM BOOTCAMP 2024 BANTU MURID APLIKASI STEM DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Oleh: Wartawan Cilik TV PSS Al-Biruni SKJDP

Melaka, 16 Ogos 2024 - Program Melaka STEM Bootcamp 2024 yang diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memulakan hari pertama dengan pelbagai aktiviti menarik yang disertai oleh murid-murid sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri Melaka. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan serta mengaplikasikan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kehidupan seharian melalui pendekatan yang menyeronokkan dan praktikal.

Hari pertama program ini telah dimulakan dengan STEM Photo Hunt Challenge, di mana para peserta diberi peluang untuk meneroka kampus UTeM dan menangkap gambar elemen-elemen STEM di sekeliling mereka. Aktiviti ini bukan sahaja menguji kreativiti dan pemerhatian peserta, tetapi juga menggalakkan mereka untuk melihat betapa dekatnya unsur-unsur STEM dalam kehidupan seharian mereka.

Selain itu, satu ceramah kerjaya turut diadakan, memberi inspirasi kepada para peserta tentang pelbagai peluang kerjaya yang ada dalam bidang STEM. Pameran oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang ini juga turut berlangsung, memberikan pendedahan lebih lanjut mengenai peranan STEM dalam masyarakat dan pembangunan negara.

Pengerusi iSpace Digital Academy Malaysia, Dato' Agil Faisal bin Ahmad Fadzil, dalam satu temubual berkata, “Melaka STEM Bootcamp 2024 ini mempromosikan STEM kepada pelajar-pelajar di Negeri Melaka dengan pendekatan yang menyeronokkan supaya mereka dapat mempelajari bagaimana STEM relevan dengan kehidupan mereka. Dalam Bootcamp ini peranti elektronik hanya digunakan untuk membantu murid berkongsi maklumat dan hasil tugasan mereka, bukan sebagai peralatan utama dalam memanfaatkan STEM.”

Peserta-peserta yang terlibat juga memberikan respons yang positif terhadap program ini. Seorang peserta, Muhammad Aiman Norabillah, menyatakan, “Saya berasa seronok kerana banyak ilmu yang berkaitan STEM dan kehidupan seharian dapat dipelajari.”

Program ini akan diteruskan pada hari esok dengan lebih banyak aktiviti dan pengisian yang menarik, menjadikan Melaka STEM Bootcamp 2024 sebagai platform penting dalam memperkasakan generasi muda dengan pengetahuan dan kemahiran STEM, terutamanya di negeri Melaka.

https://youtu.be/RYKmZ7X7KXM

#MSB #ispacedigital #STEM4All #Melakastembootcamp

Mohon like dan share post dan video ini kerana ia akan dinilai untuk kategori Media Challenge.